
SAYA meminati seorang gadis dan kami berkawan 11 tahun. Sejak tahun lalu, saya mula menyimpan perasaan terhadapnya.
Dia gadis yang baik pekerti dan budi bahasanya. Saya yakin dia boleh menghormati orang di sekeliling saya dan juga ibu bapa saya. Kerana itulah saya jatuh hati padanya.
Saya bekerja di sebuah syarikat penyiaran dan dia pula masih belajar. Umur kami sebaya. Kami pernah keluar bersama beberapa kali dan menelefon serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tiga kali seminggu kerana dia masih belajar dan tidak mahu dia terganggu.
Saya tidak pernah meluahkan isi hati saya pada si dia. Lama-kelamaan saya mula berfikir, jika saya tidak meluahkan isi hati saya kepadanya secepat mungkin, kemungkinan saya menyesal kerana terlambat. Tidak mungkin saya boleh mencari wanita lain sebaik sepertinya.
Apa perlu saya lakukan dan bagaimanakah cara terbaik untuk meluahkan isi hati saya padanya? Pada masa dan suasana manakah yang sesuai untuk meluahkan perasaan ini?Saya tidak pernah meluahkan isi hati saya pada si dia. Lama-kelamaan saya mula berfikir, jika saya tidak meluahkan isi hati saya kepadanya secepat mungkin, kemungkinan saya menyesal kerana terlambat. Tidak mungkin saya boleh mencari wanita lain sebaik sepertinya.
DELIMA
Selangor
Sayang semuanya sudah terlambat
Tak guna engkau kesalkan lagi
Sayang semuanya sudah terlambat
Biarkan aku membawa diri
Itu adalah rangkap pertama lirik lagu popular lewat 1980-an nyanyian Shidee. Mungkin lirik itu boleh menjawab dilema dihadapi saudara.
Bagi Dang Setia, bila cinta berputik, seelok-eloknya luahkan segera supaya bunga yang ingin disunting tidak terlepas ke tangan jejaka lain.
Rasanya tempoh 11 tahun cukup bagi saudara mengenali isi hati dan baik buruk si dia. Lagipun, saudara mengakui dia gadis yang baik budi pekertinya dan sesuai dijadikan calon isteri.
Bagaimanapun, saudara perlu berhati-hati mengenai status hubungan dengan si dia. Mungkin saudara mula menyintainya tapi dia hanya menganggap saudara sebagai rakan.
Apapun, mengikut kelaziman dan penceritaan saudara, Dang Setia dapat rasakan si dia juga meminati saudara, cuma mungkin dia menunggu saudara memulakannya. Kalau tidak, masakan dia setuju keluar berdua dan melayan SMS saudara dari semasa ke semasa.
Itu bermakna dia memberi ruang dan peluang kepada saudara mendekatinya. Kalau dia tidak berkenan dengan saudara, Dang Setia pasti sudah lama dia menjauhkan diri.
Apapun, saudara lebih mengenali si dia dan lebih arif mengenai perwatakannya. Ada gadis yang menanti lelaki memulakan dulu bibit cinta tapi ada juga yang berani memulakan langkah awal jika dia meminati seseorang jejaka.
Begitupun, sebagai lelaki ‘gentleman’, Dang Setia rasakan lebih baik saudara memulakan langkah itu. Kalau segan atau khuatir hasrat ditolak sekalipun, saudara boleh mengambil langkah selamat iaitu memberi ‘hint’ atau bayangan ke arah itu.
Yang penting, mesej murni daripada hati saudara perlu diluahkan segera sebelum terlambat, apatah lagi dia masih belajar di institusi pengajian tinggi.
Cara dan masa meluahkannya bergantung kepada keselesaan saudara. Kebanyakan gadis gemar lelaki meluahkan isi hatinya secara berdepan kerana ia menunjukkan tahap keyakinan seseorang. Namun, jika segan, saudara boleh menggunakan medium lain seperti telefon atau laman sosial.
No comments:
Post a Comment