SINGGAH SELALU, JANGAN MALU..!! JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK ANDA UNTUK DIBALAS SEMULA.

Saturday, January 29, 2011

Menyesal jadi biseksual


SAYA lelaki berusia 24 tahun yang cuba menjauhi godaan nafsu. Sebelum ini, saya terlalu mengikut kehendak nafsu sehingga terjebak menjadi biseksual.


Namun, saya bersyukur kerana tidak pernah melakukan seks sama ada dengan wanita mahupun lelaki. Cuma sebelum ini, naluri saya turut tertarik kepada lelaki, membuatkan diri menjadi tertekan disebabkan rasa berdosa.




Saya mengaku kerap menatapi laman lucah gay demi memuaskan nafsu. Syukur, Allah masih sayangkan saya dan saya terpanggil untuk menginsafi diri.


Bermula pada malam tahun baru lalu, saya terdetik untuk melakukan solat sunat taubat dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan keji itu. Saya tidak lagi melayari laman lucah dan berhenti melakukan onani.




Malah saya juga tidak pernah ada teman wanita istimewa kerana takut tidak mampu melawan nafsu.




Namun kadangkala terasa perit untuk melawan gelora nafsu. Buat masa ini saya masih mampu melawan kehendak songsang itu. Dang Setia, bantulah saya supaya tidak kembali melakukan kesilapan dulu.
Saya sentiasa berdoa semoga Allah menunjukkan jalan untuk menjadi lelaki normal yang hanya tertarik kepada wanita. Saya mohon pada Dang Setia serta pembaca ruangan ini, doakanlah saya kembali menjadi lelaki sejati.


INSAN LEMAH
Kedah






Dalam kehidupan ini, manusia sentiasa menerima pelbagai ujian daripada Ilahi. Bentuk ujian itu berbeza bagi setiap individu. Ada orang diuji dengan kemiskinan, kekurangan fizikal, tahap kecerdikan, krisis rumah tangga dan sebagainya.


Saudara diuji dengan naluri songsang yang menguasai jiwa. Anggaplah naluri itu sebagai dugaan Allah untuk menguji sejauh mana ketakwaan umat-Nya.

Alhamdulillah, saudara belum terjebak dalam kancah biseksual biarpun mempunyai naluri ke arah itu. Daripada sudut positif, saudara juga menyedari ia satu kesilapan dan cepat bertaubat.


Dang Setia melihat ada tiga cara bagi saudara untuk mengatasi masalah itu. Pertama daripada aspek agama. Teruskan mendekatkan diri kepada Allah dan berdoa kepada-Nya supaya dijauhi daripada maksiat, terutama naluri songsang yang membelenggu jiwa saudara.


Insya-Allah, apabila saudara sentiasa dekat dengan- Nya, saudara akan dapat mengatasi masalah itu.


Kedua, tutup ruang yang boleh mempengaruhi saudara untuk terbabit dalam kegiatan berkenaan. Paling penting, jauhi laman lucah gay kerana Dang Setia dapat rasakan nafsu saudara lebih kepada lelaki biarpun masih meminati wanita.


Ketiga, belajar daripada sejarah atau pengalaman individu lain yang pernah terjebak dalam kegiatan songsang itu. Sejarah Islam mengajar kita bagaimana kaum Nabi Lut dilaknat Tuhan kerana terbabit dalam kegiatan homoseksual.


Lihat juga pengalaman individu lain di sekeliling saudara, Dang Setia percaya semuanya berakhir dengan kehancuran, sebagai contoh rumah tangga yang dibina.


Akhir kata, orang lain hanya mampu memberi nasihat tapi pilihan terletak di tangan saudara. Dang Setia percaya saudara boleh mengatasi kemelut ini, bak kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

No comments: