SAYA gadis berusia 22 tahun. Dilema yang saya hadapi ialah status kesucian saya. Untuk pengetahuan Dang Setia, ketika berusia enam atau tujuh tahun, saya dirogol beberapa kali oleh abang kandung saya. Namun, pada masa itu, saya tidak tahu apa dilakukannya adalah rogol.
Setelah dewasa, baru saya mengerti bahawa itu yang dinamakan rogol tetapi saya merahsiakannya kerana bimbang dan malu.
Pada tahun lalu barulah saya memberitahu ibu saya mengenai perkara ini, namun tiada ada dapat dilakukan kerana perkara itu sudah lama terjadi.
Saya juga tidak menyalahkan abang saya 100 peratus kerana pada waktu itu dia di alam remaja dan mungkin tidak berfikiran matang.
Ibu saya juga terperanjat namun merasakan tidak dapat berbuat apa-apa, dan bagi saya, yang lepas itu biarlah berlalu walaupun kesucian saya dirampas oleh abang kandung.
Dalam pada itu, saya masih menjaga perilaku sebagai gadis, di mana saya tidaklah terlalu sosial. Boleh dikatakan saya mementingkan ‘dara’ walaupun ia tiada lagi. Saya bagaikan ada dara kerana pegangan saya hanya melakukan seks selepas nikah.
Yang merunsingkan saya adalah teman lelaki atau calon suami pernah beberapa kali bertanya mengenai selaput dara, lalu saya mengatakan tidak pernah melakukan hubungan seks dan hanya akan melakukannya selepas kahwin.
Dia juga pernah meminta saya berterus terang jika mempunyai kisah silam (seperti tiada dara) dan menyatakan akan tetap menerima saya kerana ia kisah silam.
Jika saya tidak berterus terang dan dia mengetahui perkara sebenar, dia pasti tidak memaafkan saya. Dan, jika saya memberitahunya perkara sebenar, saya gusar dia tidak dapat menerimanya.
Seperkara lagi, kesihatan saya tidak sempurna seperti orang lain, dan saya bimbang jika dia tahu hal sebenar nanti, dia akan meninggalkan saya kerana dua sebab ini. Mengenai sakit saya, dia dapat terima dan saya bimbang jika diberitahu hal ini pula dia tidak sanggup menerima saya.
Yang pasti, kalau boleh saya tidak mahu memberitahunya. Saya juga bimbang dia akan memusuhi abang saya jika kami berkahwin kelak. Apa harusnya saya lakukan kerana saya rasa bahawa tidak memberitahu hal sebenar adalah jalan terbaik.
Saya juga bimbang pada malam pertama kami nanti, dia akan persoalkan mengenai dara saya yang sudah tiada, apa harus saya katakan?
Tolong beri buah fikiran kerana saya tidak tahu nak mengadu pada siapa lagi. Sesungguhnya, apa yang terjadi pada saya adalah di luar kehendak saya dan saya tidak bersalah dalam hal ini.
RUNSING
Skudai, Johor Teringat Dang Setia pada perumpamaan Melayu iaitu ‘membungkus api’ yang bermaksud menyimpan rahsia yang lambat-laun akan diketahui juga oleh orang.


