SINGGAH SELALU, JANGAN MALU..!! JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK ANDA UNTUK DIBALAS SEMULA.

Monday, January 31, 2011

Gadis sangsi kesetiaan kekasih




BERUSIA 23 tahun, saya telah bercinta dengan L selama dua tahun. Pada November tahun lalu telah berlaku pertengkaran antara kami.
Ia berpunca daripada seorang remaja perempuan berumur 18 tahun. 
Saya melihat mereka bergurau mesra yang tak pernah saya lihat. Namun, saya tak berfikiran negatif kerana saya kenal teman lelaki saya adalah seorang yang sangat baik. Saya berasa bertuah jika dapat menjadi isterinya.


Namun tak lama selepas itu, sikapnya tiba-tiba berubah, enggan membalas SMS saya, enggan bercakap dan dia memang berubah daripada sebelumnya. Hingga satu hari kami bertengkar besar dan saya menuduh dia curang hingga berkelakuan begitu.


Remaja perempuan itu juga habis saya marahi. Teman lelaki berkata dia tak pernah curang dan menganggap saya salah faham. Saya terlalu sakit hati hingga sanggup memutuskan hubungan kami, dan ternyata dia tak pernah memujuk saya seperti sebelumnya selepas itu.


Saya kecewa dan berharap kami dapat memperbaiki hubungan kami. Sebulan kemudian, dia menghantar SMS mengatakan dia merindui saya. Namun selepas saya membalasnya, dia tidak melayani SMS saya lagi.


Dia kemudian datang berjumpa saya dan kami berbincang. Dia berkata masih sayang dan cintakan saya tetapi tidak mahu meneruskan hubungan kami lagi kerana risau saya akan terus fikirkannya.


Hati saya begitu hancur, ini kerana dia akan pergi ke Singapura pada bulan depan selama tiga tahun. Bagaimana saya dapat menerimanya.


Jika tahu terluka janganlah berkata masih sayang, cinta dan rindukan saya. Kata-kata itu membuatkan saya tambah sedih. Apa yang harus saya lakukan Dang Setia? Pada masa ini, saya sangat bencikannya, tapi saya akui, perasaan sayang itu jauh lebih besar daripada kebencian terhadapnya.


INSAN KELIRU
Ipoh, Perak







Bersikap realistik dan berpijaklah di bumi nyata jika saudari dilamun cinta.
Cinta itu buta, tidak celik. Dan kerana cinta badan binasa. Justeru, kita sebagai manusia seharusnya lebih bijak menganalisa status percintaan supaya tidak berada di pihak yang kalah.


Jangan terlalu mudah percayakan bicara cinta. Cinta tidak akan sempurna jika tidak ditemani dengan bukti perbuatan seperti dalam konteks teman lelaki saudari.


Jika dia mengatakan masih sayang dan cintakan saudari, dia seharusnya menunjukkan minat yang tinggi seperti membalas SMS saudari, bukanlah meninggalkan saudari terkapai-kapai keseorangan.


Bagi Dang Setia, perubahan sikapnya menunjukkan cintanya semakin rapuh dan menggambarkan dia berada dalam dilema sama ada mahu meneruskan percintaan dengan saudari atau tidak.


Dia mungkin masih sayangkan saudari tetapi tidak mustahil pada masa sama dia mempunyai pilihan lain.


Lazimnya, lelaki akan menjadi pencinta agung jika dia sudah menemui calon sempurna di matanya. Berbicara mengenai perkara ini, Dang Setia teringat ungkapan dalam filem popular Hollywood pada era 1990-an iaitu Jerry Maguire lakonan Tom Cruise.


Dalam filem itu, Cruise mengucapkan madah: “You complete me” (awak sempurnakan saya) kepada teman wanita. Dang Setia sangsi saudari adalah calon sempurna bagi teman lelaki saudari.


Justeru, jangan bazirkan masa untuk terus mencintainya sedangkan sikapnya dalam percintaan penuh kesangsian.

No comments: