
SAYA ada sedikit masalah dan tidak tahu macam mana nak mengatasinya. Saya ingin berkenalan dengan seseorang jejaka. Jejaka ini bekerja satu pejabat dengan saya.
Saya tahu dia masih solo, jadi saya ingin mengetahui cara nak berkenalan lebih dekat, kerana jejaka ini seorang yang pendiam.
Nak berborak dengan jejaka ini, saya takut kena kutuk dengan kawan sepejabat.
Saya harap Dang Setia dapat membantu saya.
GADIS DILEMA
Kuala Lumpur
Sebagai perempuan, saudari seharusnya bijak mengawal dan membawa diri.
Begitu juga jika saudari meminati seorang jejaka. Jangan dilihat orang sebagai perigi mencari timba.
Langkah paling selamat adalah saudari berusaha mendekatinya tetapi sebagai rakan sepejabat. Keadaan itu akan membolehkan saudari berada dalam kumpulannya atau dalam istilah Inggeris ‘in group’.
Lelaki yang pemalu sekalipun akan berusaha mendekati saudari dengan syarat dia berkenan pada saudari secara fizikal. Lazimnya itulah syarat pertama bagi kebanyakan lelaki.
Namun jika saudari tidak menepati cita rasanya, dia akan sekadar melayan saudari sekadar kawan, tidak lebih daripada itu.
Kedua, saudari boleh menunjukkan minat kepadanya dengan memberi ‘hint’ atau pembayang. Jika saudari juga seorang pemalu, mungkin ungkapan sesuai seperti pujian terhadap pemakaiannya: “Cantik baju awak hari ini.”
Jika saudari langsung tidak memberi pembayang, mungkin dia sendiri tidak perasan saudari meminati walhal pada masa sama dia juga bersedia menerima saudari.
Ini kerana, ada juga lelaki takut cintanya ditolak sekali gus menjejaskan egonya apatah lagi di kalangan teman sepejabat.
Tidak salah menunjukkan minat asalkan tidak menjejaskan maruah saudari sebagai perempuan. Lazimnya lelaki bujang sedia berkawan dengan ramai gadis tetapi dalam memilih calon isteri, keserasian menjadi kriteria bagi majoriti lelaki.
No comments:
Post a Comment